KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil memaklumkan siasatan kes terhadap beliau berhubung isu ‘diesel ke Filipina’ diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Dakwa beliau, perkara itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas mendapati tiada kesalahan dilakukan selain telefon bimbit miliknya akan dipulangkan.
“Saya memang tahu dan yakin bahawa saya tidak salah dalam isu ini sebab itu saya tegur tindakan kerajaan apabila merampas telefon saya dan rakan-rakan.
“Dalam undang-undang perlu ada standard yang tinggi apabila kerajaan ingin merampas harta benda awam dan ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini.
Isham turut memberi jaminan bahawa sekiranya berlaku pertukaran kerajaan pada masa depan, beliau mahu pentadbiran baharu berlaku adil kepada rakyat dalam menangani kritikan serta tidak bertindak secara kuku besi.
“Apabila tukar kerajaan kelak, insya-Allah kita akan berlaku adil kepada rakyat dalam menangani kritikan dan bukan bertindak kuku besi serta cepat koyak rabak seperti menteri-menteri dan pemimpin politik kerajaan hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa turut menjadi mangsa fitnah daripada cybertrooper penyokong kerajaan susulan isu berkenaan.
Menurutnya, beberapa pihak telah diberikan surat tuntutan (LOD), manakala tindakan terhadap pihak lain masih dipertimbangkan.
“Saya nasihatkan kepada mereka supaya tidak sesuka hati memfitnah orang kerana budaya fitnah dalam politik ini adalah barah yang perlu dibuang kerana merosakkan sistem demokrasi.
“Dalam Islam, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Bersama kita berjuang ke arah negara yang maju dan bersih,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Isham Jalil


