PULAU PINANG – Hasrat sebuah persatuan tokong untuk menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tidak kesampaian selepas tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa agama negeri.
Persatuan Tokong Thean Hock Keong dilaporkan merancang program berkenaan sebagai usaha memupuk perpaduan, mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkukuh keharmonian dalam komuniti setempat.
Bagaimanapun, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menegaskan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri diklasifikasikan sebagai aktiviti keagamaan Islam, sekali gus tidak boleh dianjurkan oleh pihak selain yang diberi kuasa.
Pengarah JHEAIPP, Marzuki Hassan, dalam satu surat memaklumkan bahawa semua aktiviti berkaitan Aidilfitri adalah tertakluk kepada kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
“Sehubungan itu, pihak persatuan tidak dibenarkan untuk menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha persatuan, Ng Choong Seong, meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan tersebut, namun tetap menghormatinya.
Menurutnya, perancangan program itu telah dibuat dengan teliti serta berpandukan garis panduan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pulau Pinang.
Tambah beliau, pihak persatuan turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin masjid dan surau tempatan serta wakil komuniti yang memberikan maklum balas positif terhadap penganjuran acara tersebut.
“Semua makanan yang disediakan juga adalah halal dan diperoleh daripada perniagaan katering tempatan sebagai usaha menyokong komuniti,” katanya.
Ng turut memaklumkan bahawa pihaknya telah melakukan penambahbaikan terhadap poster promosi asal termasuk menukar tajuk, nama penganjur serta lokasi program selepas menerima teguran bahawa versi awal dianggap kurang sesuai.
Namun, beliau berkata, terdapat aduan yang akhirnya menyebabkan program itu dibatalkan sepenuhnya.
“Walaupun tujuan utama kami adalah untuk memupuk perpaduan, kami akur dan menghormati keputusan pihak berkuasa,” katanya. -MYNEWSHUB
Sumber asal laporan- Malaysiakini

