PAROI – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah dengan rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil.
Menurutnya, kerajaan Negeri Sembilan pimpinan beliau malah memberi memberi peruntukan kepada Exco bukan Islam untuk keperluan masyarakat mereka.
“Betul saya ada beri kepada Exco bukan islam. Kita bagi satu peruntukan kepada mereka. Mereka gunakan untuk keperluan mereka. Itu hak mereka. Rakyat malaysia ada hak.
“Bukan hanya orang kita saja, tetapi masyarakat lain juga ada hak dan hari ini mereka rasa apabila mereka bersama dengan kita tempoh hari, mereka rasa mudah bagi mereka menjalankan pentadbiran ketika itu.
“Kerana tidak ada masalah. Negeri yang tidak punyai masalah.. tidak ada masalah dengan kuil, tidak ada masalah dengan tokong, kita tidak ada masalah dengan gereja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di pentas ceramah jelajah ‘Kekal Harapan’ Negeri Sembilan di sini malam kelmarin.
Aminuddin yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagaimanapun mendakwa terdapat pihak cuba mempermainkan isu rumah ibadat.
“Tetapi mereka cuba permainkan sehingga hari ini. Inilah mereka cuba buat kepada kita. Masjid terus dibina dengan banyaknya. Sekolah agama kita baiki,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran di media sosial semalam, Aminuddin memaklumkan beliau bertuah dapat bersama kaum Cina di program Makan Malam Ramah Mesra dan Perpaduan Penduduk di Dataran Tokong Air Kuning.
Menurut beliau, pimpinan PH yang lain juga sudi meluangkan masa untuk menyemarakkan semangat penduduk di situ sambil menyifatkan merah adalah warna yang cukup bertuah.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan dan laungan yang bergema,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun


