KUALA LUMPUR – Pengusaha stesen minyak didakwa terpaksa menanggung beban terhadap skim subsidi bersasar diesel yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pengusaha perlu membeli bahan api pada harga pasaran penuh sekitar RM6.02 seliter.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha stesen minyak perlu menjual kepada pengguna pada harga subsidi RM2.15 seliter bagi diesel.
Kata beliau, perbezaan harga itu namun tidak dibayar terus kepada pengusaha, sebaliknya dituntut oleh syarikat minyak daripada kerajaan.
“Ini mewujudkan realiti di mana pengusaha secara efektif mendahulukan pembiayaan subsidi menggunakan modal sendiri.
“Dengan anggaran jualan 20,000 liter sehari dan keperluan stok minimum tiga hari, pengusaha perlu menyediakan sekitar RM361,200 bagi mengekalkan stok asas operasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Norsyahrin berkata, pada masa sama, jurang subsidi sebanyak RM3.87 seliter menyebabkan pengusaha terpaksa mendahulukan modal mereka sendiri kira-kira RM77,400 sehari.
Ujar beliau, secara keseluruhan, pendedahan modal operasi boleh mencecah hampir RM440,000, menjadikan pengusaha sebagai ‘pembiaya tidak rasmi’ kepada sistem subsidi negara.
Terdahulu, katanya, walaupun transaksi jualan berlaku secara digital dan dianggap selesai di pam, bayaran sebenar termasuk komponen subsidi hanya diterima secara tertunda.
Menurut beliau, ia bermakna pengusaha perlu menanggung jurang masa antara jualan dan penerimaan tunai sekali gus mengunci modal kerja dalam sistem.
“Dalam keadaan harga tinggi dan volume besar, kelewatan ini boleh mencecah ratusan ribu ringgit pada satu-satu masa, meningkatkan kebergantungan kepada pembiayaan jangka pendek serta kos kewangan tambahan.
“DPMM memandang serius perkara ini. Diharapkan kementerian yang berkaitan wajib menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya. – MYNEWSHUB


