KUALA LUMPUR – Petronas memaklumkan bahawa bekalan bahan api di semua stesen minyaknya di seluruh negara mencukupi sehingga hujung Jun 2026, lanjutan daripada unjuran awal sehingga akhir Mei 2026.
Menurut Petronas, langkah tersebut dibuat susulan pengurusan rantaian bekalan yang sedang diperkukuh bagi memastikan stok bahan api sentiasa stabil, meskipun berdepan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
Petronas menjelaskan bahawa syarikat itu membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara melalui anak syarikat tersenarainya, Petronas Dagangan Berhad, manakala selebihnya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Dalam masa sama, Petronas menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api kekal stabil, boleh dipercayai dan mencukupi bagi kegunaan rakyat di seluruh negara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membeli bahan api mengikut keperluan harian serta mengelakkan pembelian panik atau penyimpanan berlebihan, bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara berterusan kepada semua pengguna,” kata Petronas.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengurusan Media Saluran dan Perhubungan Media Bahagian Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi Petronas. – MYNEWSHUB


