KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meminta pihak yang membantah penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave di Bukit Bintang menghormati pilihan individu dan tidak memaksakan pandangan mereka terhadap orang lain.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penyertaan festival itu adalah secara sukarela tanpa paksaan dan mana-mana pihak yang merasakan Festival Muzik Air Rain Rave tidak sesuai boleh memilih untuk tidak menyertainya.
“MOTAC tidak pernah minta peserta pakai pakaian renang atau pakaian menjolok mata bagi menyertai acara. Jangan memanipulasi aktiviti positif ini jadi isu politik atau alat memainkan sentimen kaum dan emosi.
“Jika berasa acara ini tidak sesuai, anda boleh pilih untuk tidak menyertainya, tetapi jangan mengganggu orang lain atau menjejaskan ketenteraman awam dengan kenyataan yang tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di muat naik di media sosial.
Mynewshub sebelum ini melaporkan penganjuran ‘Festival Rain Rave 2026’
yang bakal berlangsung di Bukit Bintang mencetuskan reaksi bantahan daripada beberapa pihak termasuk pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan pendakwah bebas.
Terdahulu, King Sing berkata, Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave pada 30 April hingga 2 Mei 2026 merupakan acara pelancongan tahunan yang dianjurkan di bawah pemantauan ketat serta perancangan rapi.
Menurut beliau, acara itu selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi merangsang ekonomi bandar Kuala Lumpur, memacu pembangunan industri pelancongan, menggalakkan ekonomi tempatan, menyokong peniaga kecil dan sederhana serta memperkukuh ekosistem pelancongan bandar.
“Acara ini berskala sederhana dan tersusun, bertujuan menyediakan platform interaksi yang positif, sihat dan inklusif kepada peserta tempatan serta antarabangsa khususnya sempena Hari Pekerja agar golongan pekerja yang telah berusaha sepanjang tahun dapat berehat dan menikmati suasana santai dan meriah bersama,” katanya.
Justeru, King Sing mengecam beberapa hantaran di media sosial yang beliau dakwa berunsur hasutan dan fitnah serta sengaja mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung penganjuran festival berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa usaha mengapi-apikan emosi sehingga mencetuskan keraguan boleh menggugat keharmonian masyarakat khususnya dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Tambahnya, hal ehwal awam tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan alat memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya semua pihak perlu mengutamakan perpaduan dan hala tuju bersama.
Dalam konteks ekonomi global yang masih tidak menentu, beliau berkata, ramai peniaga kecil dan sederhana khususnya golongan B40, bergantung kepada platform seperti itu untuk menjana pendapatan.
“Orang ramai berhak menyuarakan pandangan, namun perbincangan mesti berasaskan fakta, bukannya melalui hasutan dan fitnah, menimbulkan kekeliruan atau manipulasi persepsi untuk membangkitkan emosi, apatah lagi sehingga menimbulkan keraguan tidak perlu atau menggugat keharmonian masyarakat.
“Acara berskala besar di rantau ini seperti Pesta Songkran di Thailand yang telah lama berjaya menarik pelancong dan menjana pulangan ekonomi yang besar,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Tiong King Sing


