KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial luar negara, Roman Travels yang tular selepas berkongsi pandangannya mengenai Festival Muzik Rain Rave di Bukit Bintang memaklumkan menerima beberapa komen ‘brutal’ di internet susulan video tersebut.
Menurutnya, ramai pengguna media sosial menghantar artikel, video, tangkap layar serta pelbagai reaksi kepadanya selepas video itu tular, namun beliau menegaskan video yang dimuat naik itu dibuat secara ikhlas dan bukan dengan niat buruk.
“Sebahagian komen di internet memang agak brutal, tetapi saya juga faham inilah internet dan orang ramai tidak benar-benar mengenali saya, niat saya atau pendirian saya hanya daripada satu klip pendek.
“Saya tahu kenapa saya berkongsi video itu dan saya tahu ia datang daripada niat yang ikhlas dan itu sudah memadai bagi saya,” katanya menerusi satu hantaran media sosial.
Roman turut mengakui tidak menyangka video tersebut menerima reaksi begitu besar sehingga menjadi perhatian ramai.
“Sejujurnya memang beberapa hari yang sangat gila. Saya benar-benar tak sangka responsnya akan jadi begitu kuat atau keadaan menjadi setegang ini,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau memaklumkan sedang cuba menenangkan diri dengan berehat seketika daripada kekecohan media sosial kerana percaya isu tersebut akan reda tidak lama lagi.
“Minggu ini memang sangat meletihkan dari segi mental dan fizikal. Beberapa orang menghantar mesej secara peribadi bertanya sama ada saya okay dan saya benar-benar menghargainya,” katanya.
Mynewshub baru-baru ini melaporkan Roman meluahkan pandangannya berhubung Festival Muzik Air Rain Rave 2026 dengan menyatakan acara itu tidak menepati keinginannya sepanjang berada di Malaysia.
Beliau mengakui idea serta tujuan penganjuran acara itu adalah baik termasuk usaha menghimpunkan orang ramai, mencipta suasana menyeronokkan, menyokong perniagaan tempatan.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi berpandangan festival itu tidak mencerminkan perkara yang beliau hargai tentang Malaysia selepas menetap selama sembilan bulan di negara ini.
“Saya telah pergi ke sambutan Hari Merdeka, Sarong Festival, Deepavali, Tahun Baru Cina, Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri dan itu adalah jenis pengalaman yang saya benar-benar menantikan sekali lagi,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Roman Travels


