KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Sirajuddin Suhaimee mengingatkan golongan mahasiswa agar merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam sebelum menganjurkan sebarang persembahan pentas.
Menurut beliau, garis panduan tersebut telah diterbitkan oleh Jakim dan disediakan melalui Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebagai rujukan utama dalam memastikan penganjuran hiburan selari dengan prinsip syariah.
“Buat anakanda siswa siswi yang ingin mengadakan apa-apa persembahan pentas, boleh rujuk Garis Panduan Hiburan dalam Islam yang telah diterbitkan oleh Jakim,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam merupakan agama yang indah dan tidak menghalang umatnya untuk berhibur, namun menetapkan batasan tertentu demi menjaga maruah serta nilai kemanusiaan.
“Islam agama yang indah dan tidak menghalang untuk berhibur namun Islam menjaga keindahan hiburan dengan batas maruah manusiawi,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya mahasiswa disaran memuat turun dan meneliti garis panduan berkenaan menerusi pautan rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap penganjuran aktiviti hiburan mematuhi ketetapan yang telah digariskan. – MYNEWSHUB


