PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih dalam proses untuk dimuktamadkan.
Menurut KDN, pihaknya mengambil perhatian dan menghargai pandangan masyarakat berhubung urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily.
“Pada masa ini, urusan perkhidmatan Ketua Pengarah AKPS masih dalam proses untuk dimuktamadkan.
“KDN akan memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan media kementerian itu hari ini.
KDN menjelaskan, penubuhan AKPS yang baru mencecah tahun kedua bertujuan memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
Menurut kementerian itu, AKPS merupakan agensi penting dalam memperkukuh keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta integriti dan disiplin.
“Keutamaan KDN adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KDN turut memberi perhatian terhadap kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas di AKPS dalam menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai. – MYNEWSHUB


