KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing menyelar pihak yang membantah penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave dengan alasan batas pergaulan antara lelaki dan wanita.
Menurutnya, tidak wajar untuk mana-mana pihak mencetuskan kontroversi dengan sewenang-wenangnya mengalihkan fokus kepada isu seperti batas pergaulan antara lelaki dan wanita.
“Saya berpandangan bahawa tidak wajar untuk mana-mana pihak terus mencetuskan kontroversi sehingga mempengaruhi persepsi masyarakat secara negatif,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
King Sing turut mempersoalkan logik di sebalik bantahan tersebut dengan memberikan contoh situasi harian yang tidak dapat dielakkan melibatkan interaksi fizikal antara individu.
Katanya, jika alasan sedemikian digunakan, maka banyak aktiviti harian seperti di jalan raya, menggunakan pengangkutan awam atau mengunjungi pasar raya dan pusat beli-belah juga perlu dipersoalkan.
“Jika mengikut logik sedemikian, kedai, jalan raya dan ruang awam yang sentiasa digunakan orang ramai, adakah semuanya perlu dihentikan operasinya apabila orang ramai bersentuhan antara satu sama lain?
Adakah semuanya perlu dipersoalkan?
“Contohnya, kita sering menaiki pengangkutan awam, ke pasar raya dan pusat beli-belah; pada waktu puncak, jarak antara individu pasti rapat yang tidak dapat dielakkan dan kadangkala berlaku sentuhan.
“Bagaimana situasi ini harus ditafsirkan? Begitu juga, tidak kira ruang seluas mana, apabila jumlah orang ramai meningkat, ia tetap menjadi sesak. Jika kerana bimbang berlaku sentuhan kita terus mengelakkan ruang awam, bagaimana masyarakat dapat berfungsi?,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ruang awam diwujudkan untuk kegunaan masyarakat dan tidak seharusnya dielakkan selagi terdapat peraturan dan tahap ketertiban yang munasabah.
Ujar beliau, orang ramai seharusnya dibenarkan menggunakan ruang awam secara normal bagi memastikan kehidupan sosial dan ekonomi terus berjalan lancar.
Terdahulu, King Sing berkata, acara berkenaan merupakan projek pelancongan bandar yang dilaksanakan di bawah pemantauan ketat dan perancangan rapi.
Justeru, katanya, pandangan mana-mana parti politik atau individu tidak seharusnya diperbesarkan menjadi isu masyarakat apatah lagi dijadikan sebagai isu perkauman dan agama.
“Malaysia ialah sebuah negara majmuk berbilang kaum dan agama. Sebarang perbincangan awam mestilah bersifat rasional dan saling menghormati
“Jika setiap perkara mahu dipolitikkan dan dikaitkan dengan kaum serta agama, bagaimana negara dapat memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi? Bagaimana negara kita boleh maju?,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Tiong King Sing


