Oleh Mynewshub
TAIPING, PERAK – Pemindahan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping ke Jepun baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat, susulan dakwaan tular kononnya haiwan berkenaan bakal dianiaya di luar negara.
Tiga gajah terbabit, dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat, dihantar ke Tennoji Zoo, Osaka pada 11 Mac lalu sebagai sebahagian daripada program kerjasama antara Malaysia dan Jepun.

Pengurusan Zoo Taiping memaklumkan, pemindahan itu bukan bertujuan menjual atau membuang haiwan, sebaliknya merupakan inisiatif rasmi yang telah dirancang sejak 2022 melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta pihak zoo di Jepun.
Menurut sumber, sebelum pemindahan dilakukan, satu penilaian terhadap kemudahan di Tennoji Zoo telah dilaksanakan bagi memastikan ia memenuhi piawaian kebajikan haiwan antarabangsa.
Beberapa video yang dimuat naik di akaun TikTok #gajah lasah juga memperlihatkan ketiga-tiga gajah itu kelihatan amat terjaga dan gembira di rumah baru mereka.
Isu tiga gajah itu menjadi tular di media sosial apabila muncul pelbagai dakwaan tidak berasas, termasuk tuduhan bahawa gajah-gajah itu akan diseksa dan ditempatkan dalam persekitaran tidak sesuai.

Susulan itu, satu petisyen dalam talian dilancarkan dan dilaporkan telah mengumpul lebih 28,000 tandatangan daripada orang ramai yang mendesak agar ketiga-tiga gajah itu dibawa pulang ke Malaysia.

Mengulas perkara itu, pihak berkuasa memberi jaminan bahawa kebajikan Dara, Amoi dan Kelat sentiasa dipantau dan setakat ini dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Selain itu, Zoo Taiping juga dijangka menghantar delegasi ke Jepun dalam masa terdekat bagi meninjau sendiri keadaan haiwan berkenaan serta memastikan semua aspek penjagaan dipatuhi.
Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan penderaan terhadap ketiga-tiga gajah tersebut seperti yang tular di media sosial.
Dalam pada itu, pemerhati melihat polemik ini berpunca daripada kebimbangan orang ramai terhadap kebajikan haiwan, selain perbezaan persepsi antara kehidupan haiwan di habitat separa liar berbanding di zoo luar negara.
Perkembangan lanjut mengenai isu ini dijangka terus mendapat perhatian umum dalam tempoh terdekat.


