KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Datuk Seri Ahmad Maslan dilihat menyindir pihak yang mengkritik cadangannya sebelum ini berhubung penggunaan basikal susulan kenaikan harga minyak.
Menerusi satu kenyataan ringkas, beliau berharap konflik perang yang berlaku ketika ini akan segera berakhir, sekali gus membantu menyelesaikan pelbagai masalah termasuk tekanan kos bahan api.
“Harap perang akan tamat tidak lama lagi… jika betul seperti disebut oleh Donald Trump yang mengatakan perang tamat dalam dua hingga tiga minggu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan beliau akan terus berbasikal seperti diamalkan sebelum ini, sambil menyifatkan aktiviti itu sebagai senaman yang baik untuk kesihatan.
“Saya berbasikal sebelum perang. Akan terus guna basikal, senaman yang baik untuk kesihatan saya dan jutaan lagi penggemar basikal di seluruh dunia,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad mencadangkan tujuh langkah bagi menangani kenaikan harga minyak, termasuk menggalakkan penggunaan basikal untuk perjalanan jarak dekat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pengeluaran serta penggunaan kenderaan elektrik (EV) seperti kereta, motosikal dan bas dipertingkatkan.
Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai yang tidak berpuas hati, terutama dalam isu kenaikan harga minyak tanpa subsidi serta pengurangan kuota subsidi RON95. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ahmad Maslan


