KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkongsi perkembangan terkini misi bantuan Malaysia ke Gaza yang kini berada di peringkat pelaksanaan.
Menurut beliau, sebanyak 374 tan bantuan yang dimuatkan dalam 30 kontena kini ditempatkan di sebuah gudang di Kaherah, Mesir sebelum dihantar kepada penduduk Gaza melalui sempadan Rafah dalam masa terdekat.
Katanya, bantuan tersebut merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang terus menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap nasib rakyat Palestin meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Sumud Nusantara melalui Cinta Gaza Malaysia telah menyumbangkan sebanyak RM3 juta bagi menjayakan misi darat ini. Ini semua hasil sumbangan rakyat Malaysia yang masih cakna dan prihatin,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa selepas memastikan kelancaran misi darat, satu lagi perancangan besar akan digerakkan iaitu misi laut.
Menurutnya, misi tersebut bukan sahaja bertujuan menghantar bantuan, malah untuk “menggegarkan hasbara penjajah”, selain menggerakkan sokongan masyarakat antarabangsa dan mengembalikan perhatian dunia terhadap isu Palestin.
Perkembangan ini sekali lagi membuktikan solidariti berterusan rakyat Malaysia dalam membantu saudara seagama di Gaza, walaupun berdepan kekangan logistik dan geopolitik yang mencabar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nadir Al-Nuri


