Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Buloh menyatakan kesediaan untuk menerima semula bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sekiranya beliau benar-benar berhasrat untuk kembali menyertai parti itu.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Halimaton Saadiah Bohan berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran Khairy di bahagian tersebut sekiranya hasrat itu menjadi kenyataan.
“Jika benar hasrat beliau untuk kembali pada UMNO, kami di UMNO Bahagian Sungai Buloh amat mengalu-alukan Sdr KJ di sini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Halimaton Saadiah berkata, gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin kembali memperkukuh perjuangan parti.
“Rumah Bangsa yang dicetus Presiden UMNO sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin kembali memperkukuh perjuangan parti,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar bersama Khairy yang dianjurkan Kelab Rekreasi Sungai Buloh di Kota Damansara semalam.
Kata beliau, majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu turut menghimpunkan masyarakat setempat dalam semangat ukhuwah sempena bulan Ramadan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hajah Halimaton Saadiah Bohan


