Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama parti itu.
Ahmad Zahid berkata, beliau menerima kunjungan Khairy pada malam ke-26 Ramadan bagi menyampaikan sendiri permohonan berkenaan.
“Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini
Menurut beliau, perkembangan itu dilihat sebagai antara makna sebenar inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan bagi menemukan semula pemimpin yang pernah berpisah daripada parti tersebut.
“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa, sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan,” katanya.
Tambahnya, secara peribadi beliau telah menerima permohonan tersebut sebelum ia dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk diperhalusi.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” jelasnya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa keutamaan dalam perjuangan politik adalah mencari jalan penyatuan dan bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan.
“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut. Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.
Beliau berharap Rumah Bangsa dapat menjadi asas untuk mempertemukan semula pihak yang pernah terpisah sekali gus memperkukuh saf perjuangan dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahid Hamidi


