Kerajaan terus menumpukan perhatian terhadap kestabilan ekonomi negara dengan pelbagai dasar dan penyelesaian yang jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha meningkatkan produktiviti dan kekayaan negara menunjukkan hasil positif daripada langkah-langkah yang telah diambil kerajaan selama ini.
“Selama bertahun-tahun ini, pelaksanaan kerajaan cukup menarik dan kami mempunyai penyelesaian yang jelas terhadap pelbagai masalah ekonomi.
“Dengan sokongan semua pihak, kita mampu menahan keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai moderator bagi Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri Kesembilan di Bank Negara Malayisa, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam aspek diplomasi, Anwar menekankan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan negara luar termasuk di Timur Tengah.
Beliau berkata Malaysia dianggap sebagai ‘rakan yang dipercayai’ oleh Iran, membolehkan komunikasi terus dengan pemimpin serantau bagi memastikan kestabilan dan keamanan.
“Malaysia adalah salah sebuah negara yang jelas dalam membuat keputusan dan berkongsi dasar dengan negara lain. Kami berterus terang dan konsisten dalam semua keputusan,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar turut menyentuh isu keselamatan serantau, termasuk kesan politik luar negara dan konflik di Singapura yang sedikit mempengaruhi kestabilan.
Beliau menekankan kerajaan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
FIM anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi Siri Kesembilan itu menampilkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ahli Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi sebagai panel.

Bagi Amir Hamzah, reformasi fiskal yang dilaksanakan kerajaan adalah langkah penting bagi memulihkan kedudukan kewangan negara yang sebelum ini mencatat defisit sekitar 6.4 peratus.
“Fokus utama kita adalah mengembalikan kekuatan ekonomi dan mewujudkan ruang fiskal supaya kerajaan boleh bergerak dengan lebih stabil,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan subsidi bersasar diperkenalkan bagi mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan hanya dinikmati golongan yang benar-benar layak.
“Reformasi ini bukan mudah, pasti ada reaksi dan cabaran, tetapi ia perlu dilakukan demi kestabilan jangka panjang negara,” ujarnya.
Menurutnya, penstrukturan tarif elektrik berjaya dilaksanakan tanpa menjejaskan kira-kira 85 peratus pengguna, manakala mekanisme seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) diperkenalkan bagi menambah baik sistem subsidi bahan api.
“Pendekatan ini membolehkan kawalan yang lebih baik dan mengurangkan ketirisan dalam sistem subsidi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan penglibatan sektor swasta serta pelaburan asing dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.


