MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi peringatan bahawa rakyat akan memberikan jawapan melalui peti undi susulan penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial semalam, beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang mengecewakan selepas mendakwa semua syarat ditetapkan bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah telah dipenuhi.
“Tak apalah. Kita tahu hari ini kamu berkuasa. Saya nak beritahu bahawa rakyat ini tidak bodoh. Apa yang kamu buat ini, rakyat tahu apa yang kamu buat.
“Tak apalah. Insya-Allah, jangan risau, rakyat akan balas di dalam peti undi nanti. Kamu buatlah apa yang kamu nak buat. Kamu aniayalah siapa yang kamu nak. Kita tunggu nanti,” katanya.
Terdahulu, menurut Muhamad Akmal, Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu telah membuat keputusan membenarkan Najib menjalani tahanan rumah dengan syarat membayar denda RM50 juta.
Katanya, walaupun jumlah itu dianggap membebankan, pihaknya tetap akur dengan keputusan berkenaan.
“Walaupun kita rasa perit nak carikan RM50 juta itu, tetapi kita akur. Alhamdulillah, hasil sumbangan daripada ahli UMNO dan orang ramai, RM50 juta itu telah berjaya kita kumpulkan,” katanya.
Beliau turut mendakwa bayaran denda berkenaan sudah diselesaikan dan menjangkakan Najib akan dibenarkan menjalani tahanan rumah.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan undang-undang.
Muhamad Akmal turut mempersoalkan alasan tersebut memandangkan keputusan Lembaga Pengampunan didakwanya telah dibuat hampir dua bulan lalu.
“Saya nak tanya pada AG ini, agak pelik. 18 September, Lembaga Pengampunan dah buat keputusan. Hari ini 6 November dah. Dah berapa lama dah? Takkanlah AG tak dapat penjelasan undang-undang lagi?” soalnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


