Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT), kini berada di ambang mencipta sejarah dunia apabila sudah menyamai rekod kedua terpanjang tanpa tewas dalam liga.
Skuad Harimau Selatan dilaporkan telah mencatatkan 104 perlawanan liga tanpa tewas, sekali gus menyamai pencapaian kelab Romania, Steaua București di tangga kedua dunia.
JDT kini hanya memerlukan lima lagi perlawanan tanpa kalah untuk memintas rekod dunia yang ketika ini dipegang oleh ASEC Mimosas dengan 108 perlawanan tanpa tewas.
Rekod luar biasa ASEC Mimosas itu dicatatkan antara tahun 1989 hingga 1994, menjadikannya antara pencapaian paling sukar diatasi dalam sejarah bola sepak dunia.
Menurut rekod semasa, JDT tidak pernah tewas dalam Liga Super Malaysia sejak April 2021, sekali gus memperkukuhkan dominasi mereka di pentas domestik.
Malah, pasukan kendalian selatan tanah air itu turut mengekalkan rekod sempurna dalam semua kejohanan domestik sejak 2021, termasuk melengkapkan pencapaian luar biasa ‘triple quadruple’ tanpa tewas sebelum musim ini.
Dengan momentum semasa yang cukup konsisten, JDT kini dilihat berada di landasan terbaik untuk mencipta sejarah baharu dunia, sekali gus mengangkat nama Malaysia ke pentas bola sepak antarabangsa.
Jika rekod ini berjaya dipecahkan, ia bakal menjadi antara pencapaian paling hebat pernah direkodkan oleh kelab Asia dalam sejarah bola sepak global.
Kita nantikan….hanya lima perlawanan sahaja lagi. –MYNEWSHUB


