MINNEAPOLIS – Gelombang kemarahan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semakin memuncak apabila jutaan rakyat dilaporkan membanjiri jalanan di seluruh negara pada Sabtu dalam protes besar-besaran menentang pentadbiran beliau.
Perhimpunan yang digerakkan di bawah slogan “No Kings” itu didakwa melibatkan sekurang-kurangnya lapan juta peserta menerusi lebih 3,300 acara di kesemua 50 negeri, walaupun tiada angka rasmi dikeluarkan pihak berkuasa persekutuan.
Protes ini merupakan kali ketiga dalam tempoh kurang setahun rakyat AS turun ke jalanan sejak Trump memulakan penggal kedua pentadbirannya pada Januari 2025.
Di New York, puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun dengan kehadiran pelakon terkenal, Robert De Niro, yang secara terbuka mengkritik Trump sebagai ancaman kepada kebebasan dan keselamatan negara.
Demonstrasi turut berlangsung di pelbagai bandar utama termasuk Atlanta dan San Diego, dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk veteran tentera.
Seorang veteran, Marc McCaughey, menegaskan bahawa tiada kerajaan boleh memerintah tanpa persetujuan rakyat, sambil menyuarakan kebimbangan bahawa Perlembagaan AS kini berdepan ancaman serius.
Di Washington pula, ribuan peserta memenuhi kawasan National Mall dengan membawa sepanduk mendesak Trump meletak jawatan serta menghentikan apa yang mereka dakwa sebagai amalan autoritarian.
Sentimen anti-Trump turut merebak ke peringkat antarabangsa apabila perhimpunan solidariti dilaporkan di beberapa bandar utama Eropah seperti Amsterdam, Madrid dan Rom.
Di Rom sahaja, kira-kira 20,000 individu dilaporkan berarak dalam suasana terkawal.
Laporan juga menyebut kadar kelulusan Trump kini berada di bawah paras 40 peratus, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang dijangka berlangsung November ini.
Pihak pembangkang turut mengecam pendekatan pentadbiran Trump yang didakwa kerap menggunakan dekrit eksekutif serta memanfaatkan Jabatan Keadilan untuk menekan musuh politik.
Selain itu, penglibatan ketenteraan AS di luar negara, termasuk ketegangan dengan Iran, turut menjadi antara faktor utama kemarahan rakyat.
Jurucakap kumpulan veteran, Common Defense, Naveed Shah, mendakwa dasar semasa telah mengheret negara ke arah konflik berpanjangan selain meningkatkan tekanan terhadap komuniti pendatang.
Kemuncak protes di Minnesota menyaksikan kehadiran tokoh politik, Bernie Sanders, yang menegaskan rakyat tidak akan berdiam diri terhadap kepimpinan yang didakwa mencabar kedaulatan undang-undang.
Suasana turut disemarakkan dengan persembahan bintang rock legenda, Bruce Springsteen, yang mendendangkan lagu khas bertajuk Streets of Minneapolis sebagai simbol solidariti dan bantahan.
Lagu tersebut didedikasikan kepada dua rakyat AS yang maut dalam operasi imigresen awal tahun ini, yang kini menjadi simbol gerakan protes berkenaan.
Perkembangan ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa tekanan terhadap pentadbiran Trump semakin meningkat, dengan kebangkitan rakyat yang semakin tersusun dan meluas di seluruh negara.


