KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) melalui sayap pemudanya, DAPSY Kebangsaan, mendesak Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, supaya segera meletakkan jawatan EXCO negeri Melaka dan keluar daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya benar-benar berpegang kepada pendirian politik yang dilaungkannya sebelum ini.
Desakan itu dibuat susulan ketegasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang menegaskan bahawa UMNO akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, sekali gus menutup ruang spekulasi rundingan atau kerjasama politik dengan PAS.
DAPSY dalam kenyataannya menyifatkan retorik “keluar kerajaan” yang dimainkan Akmal sejak beberapa hari lalu sebagai mengelirukan rakyat dan tidak selari dengan pendirian rasmi Presiden UMNO.
“Sekiranya Akmal Saleh benar-benar berprinsip, beliau seharusnya meletakkan jawatan EXCO serta-merta tanpa perlu menunggu apa-apa lagi. Jika tidak, beliau perlu menghentikan segala retorik politik yang hanya merosakkan usaha kerajaan,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu disiarkan di Facebook Ketua DAPSY, Woo Kah Leong hari ini.
DAPSY turut menegaskan bahawa kenyataan Ahmad Zahid bahawa UMNO tidak mahu “dipatuk ular sama kali kedua” merupakan pendirian jelas parti untuk tidak mengulangi kerjasama lama bersama PAS, khususnya dalam konteks politik perpecahan yang pernah berlaku sebelum ini.
Menurut DAPSY, sebarang tafsiran songsang kononnya Presiden UMNO bersetuju dengan idea penyatuan politik Melayu hanyalah cubaan mengelirukan rakyat serta tidak menghormati pendirian parti sendiri.
Dalam kenyataan sama, DAPSY mengkritik Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, yang didakwa gagal menampilkan dasar konstruktif berkaitan kos sara hidup dan reformasi institusi, sebaliknya terus memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.
DAPSY turut merujuk konflik dalaman PN melibatkan PAS dan Bersatu sebagai bukti gabungan itu tidak menawarkan kestabilan politik, malah berpotensi memecahbelahkan negara.
Mengimbas pengalaman pentadbiran 2020 hingga 2022, DAPSY menyatakan kerjasama UMNO–PAS–Bersatu ketika itu telah membawa ketidakstabilan politik serta kerugian besar kepada UMNO, dan sebarang usaha untuk mengulanginya disifatkan sebagai mengkhianati mandat rakyat.
“Fokus utama kerajaan hari ini ialah pemulihan ekonomi, meringankan kos sara hidup dan meneruskan agenda reformasi. Rakyat tidak berminat dengan drama perebutan kuasa,” tegas DAPSY.
Sehubungan itu, DAPSY sekali lagi menegaskan bahawa Dr Akmal perlu segera meletakkan jawatan EXCO dan melaksanakan pendirian yang dilaungkan, sambil mengingatkan agar tidak “bercakap tidak serupa bikin”.
— Mynewshub





