KUALA LUMPUR: Wanita yang didakwa menetap di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disahkan warga tempatan dan memiliki kad masalah kesihatan mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah, berkata wanita berusia 40-an itu ditahan selepas berlaku kekecohan di terminal lapangan terbang berkenaan pada 18 Disember lalu.
Menurutnya, kejadian berkenaan membabitkan wanita berkenaan dengan beberapa individu lain sebelum anggota bertugas ke lokasi bagi tindakan lanjut dan membawanya ke balai polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai kad masalah kesihatan mental dan mengambil kira keadaan berkenaan, pihak polis menghantarnya ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Albany berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan kesejahteraan semua pihak termasuk wanita terbabit, namun pihaknya tidak dapat mengesahkan tempoh sebenar individu berkenaan berada di kawasan KLIA.
“Kita tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan tindakan diambil susulan kekecohan yang berlaku.
“Setakat ini, pihak polis tidak membuka kertas siasatan dan wanita berkenaan diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan seorang wanita dilihat ditenangkan beberapa individu selepas memarahi kanak-kanak yang dikatakan bermain dan membuat bising di kawasan terminal berkenaan.
Difahamkan, wanita itu menggunakan kawasan terminal sebagai tempat berteduh termasuk untuk tidur dan mandi, selain bergantung kepada kemudahan awam seperti bekalan air dan perkhidmatan WiFi.
Rakaman sama turut menunjukkan beberapa barangan peribadi dipercayai milik wanita itu diletakkan di beberapa troli lapangan terbang sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai tempoh keberadaannya di lokasi itu.
Dalam pada itu, pengurusan KLIA memaklumkan pihak berkuasa sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan Polis Diraja Malaysia menjalankan tindakan sewajarnya serta meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
BHonline-


