Pelancong Dakwa Dikenakan Caj Melampau
Oleh Mynewshub
Kuala Lumpur – Tular dakwaan seorang pelancong asing yang mendakwa dikenakan tambang sehingga RM389 untuk perjalanan dari KLIA ke Sentul menggunakan sebuah kereta Toyota Vios yang didakwa sebagai “limousine executive premium”.
Menurut perkongsian tersebut, pemandu terbabit pada awalnya memaklumkan bahawa tambang bermula dari RM80, namun caj akhir yang diminta meningkat sehingga RM300 hingga RM400.
Seorang lelaki tempatan yang berada di lokasi turut menegur pemandu terbabit sambil mempersoalkan bagaimana tambang “starting price RM80” boleh melonjak berkali ganda.
Lelaki berkenaan menegur pemandu dalam video berkenaan agar menyatakan dengan sejelas yang mungkin kepada penumpang terutama orang asing akan jumlah yang mereka perlu bayar dan bukan setakat harga permulaan semata-mata.
Menurut individu itu, pelancong atau warga asing sukar memahami perbezaan antara teksi biasa, teksi premium, Grab atau perkhidmatan berdaftar lain, sekali gus memberi ruang kepada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Pelancong berkenaan mendakwa dia akhirnya membayar RM260, namun tetap menganggap caj itu tidak masuk akal memandangkan kereta yang digunakan hanyalah model biasa dan bukannya kenderaan mewah.
Difahamkan, KLIA menyediakan perkhidmatan teksi bajet, teksi premium dan kenderaan e-hailing pada kadar tetap yang dipamerkan kepada umum. –MYNEWSHUB


