WASHINGTON: Pendedahan dokumen berhubung mendiang pesalah seks Jeffrey Epstein semalam hadir susulan desakan berbulan lamanya terhadap pentadbiran Trump demi ketelusan kes berprofil tinggi ini.
Pendedahan ini, bagi menepati tarikh akhir ditetapkan Kongres, hanyalah peringkat pertama daripada jumlah maklumat yang disifatkan pentadbiran sebagai sangat besar. Namun, ia mula mengundang kritikan kerana banyak bahagian ditapis.
Antara fail itu terdapat banyak gambar yang memaparkan bekas presiden Demokrat, Bill Clinton dan tokoh terkenal lain termasuk Mick Jagger dan Michael Jackson dalam kalangan kenalan sosial Epstein.
Penyuntingan meluas di banyak dokumen di samping kawalan ketat pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap pendedahan itu menimbulkan skeptisisme sama ada ia mampu membungkam teori konspirasi mengenai penutupan skandal di peringkat tinggi.
Sebagai contoh, tujuh halaman yang menyenaraikan 254 tukang urut mempunyai setiap nama disorok di sebalik bar hitam tebal bersama nota, ‘disunting untuk melindungi maklumat mangsa berpotensi’.
Walaupun begitu, fail itu menyingkap sebahagian hubungan rapat ahli perniagaan ternama itu dengan golongan kaya, terkenal dan berkuasa termasuk Trump.
Sekurang-kurangnya satu fail mengandungi puluhan imej disunting yang memaparkan figura bogel atau berpakaian mencolok mata.
Fail lain menunjukkan Epstein bersama teman-temannya dengan wajah mereka disorok, bergambar dengan senjata api.
Gambar yang sebelum ini tidak pernah dilihat termasuk satu imej Clinton yang kelihatan muda sedang bersantai di tab mandi panas, sebahagian imej ditutup.
Dalam satu lagi gambar, Clinton berenang bersama seorang wanita berambut gelap yang dipercayai rakan sekutu Epstein, Ghislaine Maxwell.
White House segera memberi perhatian terhadap kemunculan Clinton dalam dokumen berkenaan.
Pengarah Komunikasi, Steven Cheung, menyiarkan kenyataan di platform X yang merujuk kepada gambar bekas presiden itu, manakala Setiausaha Akhbar Karoline Leavitt turut memberikan reaksi ringkas.
Namun, Demokrat menyuarakan kekecewaan kerana pendedahan itu jauh daripada apa yang diperuntukkan oleh Epstein Files Transparency Act, yang mengkehendaki kerajaan mendedahkan keseluruhan fail kes menjelang Jumaat, tertakluk hanya kepada batasan undang-undang dan privasi mangsa.
“Set dokumen yang banyak disunting ini hanyalah satu pecahan daripada keseluruhan bukti.
“Mendedahkan gunungan halaman yang disorok melanggar semangat ketelusan dan undang-undang. Contohnya, semua 119 halaman satu dokumen disorok sepenuhnya,” kata Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer.
Trump yang pernah menjadi rakan rapat Epstein, berjuang berbulan-bulan untuk menghalang pendedahan rekod berkaitan siasatan Epstein yang meninggal dunia di sel penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas dakwaan penyeludupan seks.
Presiden Republikan itu akhirnya tunduk kepada tekanan meningkat dari Kongres termasuk ahli partinya sendiri dan menandatangani undang-undang bulan lalu yang memaksa penerbitan bahan itu pada Jumaat.
Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, berkata beberapa ratus ribu dokumen akan diterbitkan pada hari akhir dengan lebih banyak lagi akan menyusul dalam minggu-minggu akan datang.
Pendakwa raya masih mempunyai budi bicara untuk menahan bahan berkaitan siasatan aktif dan Blanche berkata fail juga disunting bagi melindungi identiti ratusan mangsa Epstein.
Trump pernah bergerak dalam kalangan parti di Palm Beach dan New York bersama Epstein, muncul bersamanya dalam acara sepanjang 1990-an.
Beliau memutuskan hubungan beberapa tahun sebelum penangkapan Epstein pada 2019 dan tidak berdepan sebarang tuduhan salah laku dalam kes itu.
Namun, pengikut sayap kanannya lama memfokuskan pada Epstein dan teori konspirasi yang mendakwa ahli perniagaan itu mengendalikan rangkaian penyeludupan seks untuk elit global.
Semasa kempen, Trump berjanji akan mendedahkan semua fail. Namun selepas kembali menerajui kerajaan, beliau menolak usaha ketelusan itu sebagai ‘penipuan Demokrat’.
FBI dan Jabatan Kehakiman Trump mencetuskan kontroversi politik pada Julai dengan memo yang menyatakan tiada pendedahan lanjut daripada siasatan Epstein dan ‘senarai klien’ Epstein yang terkenal tidak wujud.
Trump kemudiannya berdepan pertikaian dengan Kongres yang berusaha menjadikan rekod itu umum, sebelum akhirnya akur.
Bekas teman wanita Epstein, Ghislaine Maxwell, kekal sebagai satu-satunya individu yang disabitkan kesalahan berkaitan jenayah itu, satu hakikat yang terus mencetuskan syak wasangka mengenai usaha menutup kes dalam kalangan penyokong Trump.
Maxwell, 63 kini menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana merekrut gadis bawah umur untuk Epstein, yang kematiannya ditentukan sebagai bunuh diri.
-AFP

