KUALA LUMPUR – Nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan muncul dalam satu rangkaian e-mel lama yang dikaitkan dengan mendiang Jeffrey Epstein, tokoh kontroversi Amerika Syarikat yang terpalit dengan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur.

Tular di media sosial sejak semalam, paparan e-mel bertarikh Februari 2012 itu memaparkan perbualan antara beberapa individu, termasuk akaun yang didakwa milik Jeffrey Epstein.
Dalam kandungan e-mel tersebut, terdapat cadangan untuk mengatur pertemuan antara Epstein dan Anwar Ibrahim sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan pertemuan tersebut pernah berlaku.
Anwar: “Tiada Kaitan Dengan Mana-Mana Pihak”
Mengulas perkara itu menerusi satu hantaran di media sosial rasmi beliau, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Epstein atau mana-mana pihak yang terlibat dalam rangkaian e-mel tersebut.
“Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam emel melibatkan kes Epstein.
“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas emel tu, terutama Epstein,” katanya.

Beliau turut menambah secara berseloroh bahawa beliau mahu meneruskan lawatan di Johor Bahru, sambil menyertakan tanda pagar #DoneExplain.
E-mel Lama, Tiada Bukti Pertemuan
Semakan terhadap dokumen yang tular itu menunjukkan ia merupakan e-mel lama sekitar 2012, ketika Anwar masih menjadi Ketua Pembangkang.
Kandungan e-mel tersebut sekadar membincangkan kemungkinan pertemuan sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri.
Setakat ini, tiada dokumen atau rekod rasmi yang menunjukkan sebarang hubungan langsung, komunikasi peribadi atau pertemuan sebenar antara Anwar dan Jeffrey Epstein.
Jeffrey Epstein sebelum ini ditahan atas tuduhan memperdagangkan gadis bawah umur untuk tujuan eksploitasi seksual.
Dia ditemui mati dalam tahanan di New York pada tahun 2019, dalam kes yang mencetuskan perhatian global serta pelbagai teori dan spekulasi.
Isu Tular Di Media Sosial
Isu berkenaan kembali menjadi perdebatan hangat di media sosial selepas beberapa pihak berkongsi semula dokumen lama tersebut, sekali gus mencetuskan pelbagai tafsiran dan dakwaan.
Setakat ini, tiada kenyataan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu.-MYNEWSHUB

