KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama politik, perundangan dan keselamatan serantau bagi memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang aman, stabil dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata usaha memperkukuh Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) perlu diteruskan menerusi pelaksanaan Pelan Strategik APSC 2045 yang akan menjadi panduan utama selepas tamat tempoh Pelan Tindakan APSC 2025.
“Pelan baharu itu akan menjadi kompas hala tuju ASEAN untuk beberapa dekad akan datang yang berasaskan nilai keamanan, ketahanan, inklusiviti, kemampanan dan pembangunan berpaksikan rakyat.
“Pelan Strategik APSC ini akan membimbing negara anggota membina komuniti ASEAN yang kukuh, tangkas dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Di bawah pelan strategik ini, ASEAN mengenal pasti tindakan konkrit bagi memperkukuh sistem perundangan, asas kehakiman dan kerjasama keselamatan yang mampu meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Majlis APSC ke-30 di sini, hari ini.
Mesyuarat itu diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung esok hingga Selasa ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan India serta dijangka menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhan blok itu pada 1967.
Mohamad berkata, sepanjang Pengerusian Malaysia, ASEAN memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kepercayaan antara pasukan keselamatan serantau, memperkukuh kerjasama menentang jenayah rentas sempadan, memperkukuh pelaksanaan kedaulatan undang-undang serta memastikan hak asasi manusia kekal sebagai teras pembinaan komuniti ASEAN.
Sehubungan itu, katanya, ASEAN juga mengambil langkah inovatif dalam memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang, termasuk menubuhkan Kumpulan Kerja Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Ketiga Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) mengenai Pengubahan Wang Haram atas inisiatif Malaysia.
“Selain itu, sektor pertahanan turut mencatat kemajuan ketara dengan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus melaksanakan pelbagai latihan serta inisiatif baharu dalam bidang keselamatan siber, maritim dan kesihatan.
“ASEAN turut memberi perhatian terhadap implikasi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertahanan termasuk memastikan penggunaannya dilakukan secara bertanggungjawab,” katanya.
Dalam aspek hak asasi manusia, Mohamad berkata, Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) terus memperjuangkan isu hak terhadap persekitaran selamat, bersih dan lestari serta memperkukuh perlindungan terhadap mangsa pemerdagangan manusia melalui pelaksanaan Prinsip Tidak Menghukum (Non-Punishment Principle).
Beliau berkata, Perjanjian Ekstradisi ASEAN kini berada pada peringkat akhir dan dijangka ditandatangani bulan depan, manakala penubuhan Mesyuarat Pendakwa Raya dan Peguam Negara ASEAN (APAGM) akan memperkukuh kerjasama dalam pendakwaan serta memerangi jenayah rentas sempadan.
“Dalam persekitaran keselamatan global yang semakin kompleks, ASEAN perlu kekal bersatu, konsisten dan berpandangan jauh dalam menghadapi cabaran geopolitik serta ancaman rentas sempadan,” katanya.
Dalam memperkukuh mekanisme kerjasama bidang pertahanan, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang dan institusi perundangan amat penting bagi memastikan keamanan serta kestabilan serantau terus terjamin.
“Dengan semangat perpaduan dan tujuan bersama, saya yakin ASEAN akan terus menjadi kuasa berkekalan dalam menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama, bukan saja di rantau ini tetapi juga di peringkat global,” katanya.
BHonline-


