• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Monday, May 18, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Malaysia Melonjak 19 Anak Tangga, Perkembangan Positif Kebebasan Media

oleh Mohd Arshad
03/05/2025
dalam Terkini
0
Malaysia Melonjak 19 Anak Tangga, Perkembangan Positif Kebebasan Media
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia yang melonjak 19 anak tangga ke kedudukan ke-88 menunjukkan petanda positif kepada perkembangan industri media dan ruang kebebasan bersuara di negara ini.

Koordinator Kursus Program Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Melina Mahfuz berkata, peningkatan itu menandakan bahawa ruang untuk media berfungsi sebagai pemerhati (watchdog) kepada kerajaan dan institusi awam, satu peranan penting dalam sistem demokrasi, semakin luas.
Melina berkata, peningkatan kedudukan itu juga menunjukkan penambahbaikan dalam capaian kepada maklumat oleh media, pengurangan tekanan terhadap peranan dan tatakelola wartawan serta kemajuan positif dalam aspek undang-undang yang berkaitan dengan kebebasan bersuara.

Bagaimanapun Melina berkata, beberapa aspek perlu diberi perhatian sekiranya Malaysia ingin terus memperbaiki kedudukan dalam indeks itu termasuk mengukuhkan undang-undang berkaitan kebebasan media, ketelusan dalam akses kepada maklumat serta pendidikan literasi media.

“Undang-undang lama seperti Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia perlu dikaji semula oleh pakar-pakar bidang berkaitan agar tidak menyekat kebebasan bersuara secara berlebihan.

“Akta ini masih perlu dalam suasana negara majmuk seperti Malaysia, namun harus lebih diperhalusi jika kebebasan media Malaysia ingin menjadi cerminan yang lebih baik di mata dunia,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, peningkatan kedudukan berkenaan menunjukkan proses pemulihan kedudukan Malaysia dalam indeks itu yang menurun pada tahun sebelum ini.

Bagaimanapun Kuok Tiung turut mencadangkan supaya mekanisme kawalan media sosial perlu diperkukuh bagi membendung isu berita palsu.

“Kebebasan media terutama media sosial perlu mempunyai satu mekanisme kawalan, bukan untuk menyekat sebaliknya untuk membanteras penyebaran berita-berita palsu dan penipuan dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Akhbar Malaysia, Datuk Yong Soo Heong berkata, peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks itu adalah suatu perkembangan yang amat signifikan kerana ia mencerminkan ruang media lebih bebas dalam negara.

“Peningkatan tahap kebebasan ini juga boleh memberi inspirasi kepada media tempatan supaya lebih kreatif dalam penulisan dan penceritaan masing-masing sambil berpegang kepada prinsip tanggungjawab bagi menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“MPI juga berharap kenaikan tangga Reporters Without Borders (RSF) ini akan mendorong penceritaan lebih inklusif dan tulus kerana ini amat penting bagi memberi suara dan ruang kepada masyarakat majmuk dalam memupuk dialog yang membina antara kaum dalam usaha memajukan pembangunan negara kita,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Zulazhar Sheblee berkata, peningkatan kedudukan Malaysia itu adalah satu petanda positif bahawa ada kemajuan dalam ruang kebebasan bersuara di negara ini.

“Namun ini bukan alasan untuk berpuas hati, masih banyak ruang untuk memperkukuh kebebasan media termasuk dalam aspek mengakses maklumat, perlindungan dan keselamatan wartawan serta mengurangkan tekanan politik ke atas media.

“Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh membiarkan media sosial menjadi saluran mudah untuk menyebarkan maklumat palsu dan fitnah. Ini bukan soal menyekat kebebasan, tetapi soal mengekang penyalahgunaan yang akhirnya merosakkan reputasi media arus perdana,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil, peningkatan kedudukan itu merupakan satu petanda yang baik namun masih ada keperluan untuk hak-hak media dalam Perkara 19 Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipenuhi.

“Kebebasan media bukan sekadar tentang apa yang dibenarkan untuk diperkatakan tetapi bagaimana kita menggunakan kuasa tersebut dengan penuh tanggungjawab.

“Di Sabah, kebebasan media memang ada namun akses kepada maklumat kritikal masih terhad terutama apabila berurusan dengan agensi-agensi kerajaan masih mengamalkan birokrasi,” katanya.

Kedudukan terbaharu berdasarkan penilaian RSF itu menjadikan Malaysia kini berada di kedudukan kedua tertinggi di ASEAN, di belakang negara jiran Thailand, yang berada di tangga ke-85.

Bernama-

Tags: Malaysia
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Malaysia Adalah Negara Islam Secara Fikhi, Geografi, Sejarah Dan Realiti – Mufti Wilayah

Malaysia Adalah Negara Islam Secara Fikhi, Geografi, Sejarah Dan Realiti – Mufti Wilayah

04/05/2026
0

KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil mengingatkan semua pihak bahawa Malaysia adalah negara Islam. Beliau menerusi satu...

Malaysia Menyatukan Pelbagai Negara Dan Bangsa Lain

Malaysia Menyatukan Pelbagai Negara Dan Bangsa Lain

23/04/2026
0

KUALA LUMPUR - Malaysia kini menjadi sebuah negara yang menyatukan pelbagai negara dan bangsa lain atas semangat keamanan. Perdana Menteri,...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd