KUALA LUMPUR – Malaysia kekal komited dalam menjayakan Proses Dialog Damai Selatan Thailand bagi memastikan kestabilan dan keselamatan serantau, khususnya di kawasan sempadan utara negara, terus terpelihara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memberikan kerjasama serta berkongsi kepakaran bagi menyokong usaha mencapai keamanan berkekalan di wilayah selatan Thailand.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas menerima kunjungan hormat Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (Bersara), yang dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand pada 16 Oktober lalu.
Menurut Mohamed Khaled , usaha menjayakan proses damai berkenaan amat penting kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan kestabilan dan keselamatan serantau, terutama di kawasan yang bersempadan dengan Malaysia.
“Usaha menjayakan proses damai ini amat penting bagi memastikan kestabilan dan keselamatan serantau, khususnya di sempadan utara Malaysia, terus terpelihara.
“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memberikan kerjasama serta berkongsi kepakaran bagi menyokong usaha ini,” katanya.
Mohamed Khaled turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Ahmad Norihan untuk memainkan peranan penting dalam memastikan proses dialog damai berkenaan terus mencatat kemajuan.
“Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran luas Datuk Norihan, beliau dapat memainkan peranan penting dalam memastikan proses dialog damai ini terus mencapai kemajuan,” katanya. – MYNEWSHUB


