SRI AMAN: Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan ketika memburu di kawasan hutan Sungai Dor di Melugu pada petang Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam, berkata dalam insiden pada jam 5.30 petang Ahad itu, mangsa yang juga warga tempatan berusia 40-an maut tertembak di bahagian kepala oleh rakannya sendiri kerana disangka babi hutan.
“Pemeriksaan dijalankan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena tembakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai lesen senjata api sah bagi menjalankan kegiatan berburu.
“Polis turut merampas selaras senapang patah digunakan suspek dalam insiden berkenaan sebagai bahan bukti kes.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kematian tanpa niat dan kes itu juga akan disiasat mengikut Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen sah,” katanya.
Beliau menasihatkan orang awam sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan pemilikan dan penggunaan senjata api.
“Ia bagi memastikan segala aktiviti memburu dilakukan dengan lesen dan permit sah daripada pihak berkuasa,” katanya.
-Berita Harian


