BATU GAJAH – Tidak menerima gaji sehingga lima bulan merupakan antara nasib malang yang dialami oleh 55 pekerja warga asing sebelum diselamatkan dalam Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing, di sini pada Khamis.
Operasi yang dijalankan oleh sepasukan 96 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri itu turut menyelamatkan enam pekerja tempatan termasuk tiga wanita.
Selain dieksploitasi sebagai buruh paksa, kesemua pekerja yang terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu juga berisiko menghidap penyakit apabila terpaksa bekerja dan tinggal di kawasan kilang yang dipenuhi habuk.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, operasi yang bermula pada jam 11 pagi itu berjaya menyelamatkan mangsa berusia antara 19 hingga 45 tahun yang dipaksa bekerja di kilang perabot berkenaan.
“Operasi ini dijalankan berdasarkan risikan dan makluman orang awam berikutan mangsa-mangsa dipaksa bekerja tanpa gaji dan cuti selama beberapa bulan.
“Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa berhutang di kedai runcit berhampiran untuk mendapatkan makanan dan barangan keperluan lain, selain tidak disediakan tempat tinggal yang kondusif,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurut beliau, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun yang bertindak sebagai majikan dan pengarah urusan syarikat terbabit.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Kesemua pekerja asing ini akan menjalani proses dokumentasi sebelum ditempatkan di rumah perlindungan di Tanjung Kling, Melaka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JTK Perak, Mohd Nizar Zakaria berkata, kesalahan utama yang dikesan ialah ketiadaan perakuan penginapan pekerja, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 24(D) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
“Selain itu, majikan juga gagal mematuhi Akta Kerja 1955 termasuk lewat membayar gaji, gagal melaporkan penggajian pekerja asing, membuat potongan gaji tidak sah, tiada kontrak pekerjaan dan mengamalkan buruh paksa.
“Siasatan mendapati kilang ini telah beroperasi sejak 29 tahun lalu dan kita juga akan menyemak semula pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) sebanyak RM1,700,” katanya.
Jelas beliau, kesemua kesalahan yang dikesan akan dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan selaras dengan akta-akta berkaitan.
SinarHarian-