KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan susulan penularan satu rakaman video di media sosial yang didakwa memperlekehkan tugas anggota polis ketika menjalankan sekatan jalan raya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video tersebut kira-kira pukul 10 pagi pada 26 April 2026 yang dimuat naik melalui platform Facebook.
Individu itu didakwa membuat kenyataan tidak bertanggungjawab kononnya berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.
“Siasatan awal mendapati individu berkenaan turut mendakwa bahawa beliau telah berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.
“Kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Tambah beliau, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan.
“Sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan keselamatan atau menghakis keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang toleransi,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform tersebut.
Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.
PDRM tidak memaklumkan siapa individu dimaksudkan, tetapi ia dipercayai melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud.
Wan Rohimi menyertai Program ‘Konvoi & Lepak Anak Muda Bersama YB’ anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan baru-baru ini. – MYNEWSHUB


