Baling: Polis sudah mengambil keterangan pemilik dua anjing jenis Rottweiler yang menyerang lima individu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, semalam, untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, keterangan pemilik anjing berkenaan yang berusia 59 tahun diambil malam tadi.
Beliau berkata, selain itu pihaknya juga sudah menerima lima laporan daripada kesemua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.
“Keterangan semua mangsa berusia antara 50 hingga 66 tahun sudah diambil bagi membantu siasatan berhubung kes ini.
“Kita sudah pun membuka siasatan berhubung kes ini di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai melepaskan anjing di tempat awam.
“Tiada tangkapan dilakukan dan kita hanya mengambil keterangan pemiliknya untuk membantu siasatan,” katanya.
Azmi berkata, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut berhubung kes itu.
Media semalam melaporkan, sekurang-kurangnya lima individu cedera selepas digigit dua anjing yang melarikan diri dari rumah pemiliknya di Taman Desa Bicara, Kuala Ketil, pagi semalam.
HarianMetro-


