KUALA LUMPUR: Kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut universiti dan sekolah menunjukkan peningkatan dengan kebanyakan mereka menerima jangkitan akibat aktiviti seksual.
Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya, berkata kebanyakan mereka berusia 20 hingga 29 tahun antara 44 peratus golongan yang dikesan mendapat jangkitan HIV itu.
“Bagi pelajar sekolah berusia 13 hingga 19 tahun pula, empat peratus daripada mereka disahkan mendapat HIV dengan kebanyakannya akibat kegiatan seksual.
“Golongan tertinggi adalah remaja lepasan sekolah dan universiti, mereka tidak mengetahui risiko jangkitan, namun kes jangkitan HIV akibat dadah dilihat makin berkurangan disebabkan kita kerap melakukan program kesedaran bahaya berkongsi jarum suntikan.
“Disebabkan jangkitan HIV akibat seksual semakin tinggi, kita meningkatkan program kesedaran supaya pesakit tahu ke mana nak pergi dan di mana mahu mendapatkan bantuan,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Komuniti dan pelancaran ProtectNow Hub anjuran MAC dan MAF di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Sektor HIV/STI/Hepatitis C Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Fazidah Yuswan; Timbalan Pengerusi Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan lebih 300 tetamu yang dirai dalam kalangan pesakit HIV, aktivis komuniti, pengamal kesihatan dan rakan strategik yang menyokong misi mengakhiri AIDS di Malaysia.
Dr Zaiton berkata, disebabkan peningkatan ketara golongan muda ini, pihaknya mengadakan pelbagai program kesedaran mengenai jangkitan HIV di sekolah dan universiti.
Berdasarkan statistik terbaru KKM, 135,035 pesakit HIV direkodkan bermula 1986 hingga 2023 dengan 54,365 orang akibat transmisi seksual.
Lebih mengejutkan, lapan jangkitan baharu HIV membabitkan kanak-kanak bawah usia 13 tahun.
Rekod terbaru menunjukkan 62 peratus jangkitan HIV adalah daripada golongan homoseksual dan biseksual, manakala 33 peratus jangkitan daripada pasangan berlainan jantina.
Sementara itu, MAC dan MAF melancarkan ProtectNow Hub iaitu sebuah platform perkhidmatan digital pencegahan HIV yang pertama di Malaysia.
ProtectNow Hub dibangunkan hasil kerjasama pakar kesihatan awam, organisasi komuniti dan golongan belia.
Sejak mula diperkenalkan, platform itu menerima lebih 74,000 kunjungan yang memerlukan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, selamat dan berorientasikan komuniti.
Platform itu memberi akses segera kepada pelbagai perkhidmatan penting seperti PrEP (Profilaksis Pra-Pendedahan), ujian kendiri HIV dan sokongan kesihatan mental serta pemulihan ketagihan.
Dr Zaiton berkata, dengan pendekatan digital yang inklusif, ProtectNow Hub menyasarkan untuk memberdayakan individu supaya dapat membuat keputusan tepat mengenai kesihatan diri dan bebas daripada stigma dan maklumat salah.
“Kita berdepan perubahan besar dalam jangkitan HIV, dengan peningkatan kes baharu membabitkan golongan muda dan komuniti sasaran.
“ProtectNow adalah pendekatan baharu berpaksikan masa depan berorientasikan belia, diterajui komuniti dan dipacu oleh inovasi digital,” katanya.
-Berita Harian