TAPAH – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan isu penternakan babi boleh mendorong pengundi beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurut beliau, walaupun isu itu dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun sentimen masyarakat tempatan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, menunjukkan keresahan yang jelas terhadap cara ia ditangani.
“Isu babi ini pada saya adalah satu isu yang sudah pun ditolak oleh Menteri Besar. Sepertinya perkara yang tidak sepatutnya dibawa dalam pilihan raya.
“Tetapi itulah isu tempatan.Terlalu banyak ladang penternakan besar dan orang Melayu merasakan perkara ini diambil mudah oleh Menteri Besar,” katanya ketika ditemui dalam Ziarah Kasih di Kampung Dato Kamaruddin, Bidor di sini pada Khamis.
Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Hamzah turut mendedahkan dalam siri kempen dijalankan, terdapat peningkatan sokongan terhadap PN dalam kalangan ahli akar umbi UMNO sendiri yang tidak bersetuju dengan kerjasama parti itu bersama DAP.
“Walaupun mereka kekal dalam UMNO, tetapi dalam hati mereka tidak setuju dengan gabungan ini. Mereka tetap percaya pada perjuangan asal parti memperjuangkan ‘Abata’,” katanya.
Beliau optimis bahawa penolakan akar umbi terhadap gabungan kerajaan campuran, ditambah dengan isu-isu tempatan yang menyentuh sensitiviti masyarakat akan memberi isyarat jelas kepada pimpinan UMNO dalam PRK kali ini.
“Saya percaya kalau ramai yang mempunyai sifat sebegitu, mereka akan memberi undi kepada PN semata-mata untuk memberi signal kepada pemimpin mereka,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mendakwa terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah iaitu Batang Padang dan Mualim dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi jika dicampurkan dengan ladang haram.
Perkara tersebut kemudiannya membawa kepada pendedahan Sungai Bidor yang mengalir hingga ke kawasan DUN Ayer Kuning tercemar dengan pembuangan sisa kumbahan babi.
-Sinar Harian