Putrajaya: Semua wang tunai dan barang rampasan termasuk jongkong emas ditemui di sebuah kondominium yang dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu Perdana Menteri ke-9.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, semua wang tunai berjumlah RM 170 juta dengan pelbagai mata wang asing itu ditemui di tiga peti besi kediaman yang disewa.
“Pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss France dan Yuan) turut ditemui ketika pengeledahan dilakukan.
“SPRM turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta dari lokasi berkenaan. Bagi barangan kemas pula ia masih belum dinilaikan kerana pegawai SPRM kini sedang mengambil keterangan daripada suspek berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Ditanya berhubung sama ada SPRM sudah memanggil keterangan Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Nazimah Hashim, Azam berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan individu berkenaan.
“Kita menafikan beliau berada di luar negara dan kita sudah mengambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kita berpuas hati, setakat ini empat orang sahaja dan tidak ada lagi laporan ataupun maklumat kita terima untuk menangkap mana-mana pihak lain,” katanya.
Azam turut menafikan siasatan berhubung kes ini dijalankan secara terpilih.
“Saya kekal dengan prinsip bahawa kami menyiasat secara adil dan profesional, tidak ada arahan dari sesiapa kami bergerak berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya.
-Harian Metro