KUALA LUMPUR – UMNO Wilayah Persekutuan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu melibatkan MYEG dan Zetrix AI.
Memetik laporan media, laporan SPRM berhubung isu tersebut dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim hari ini.
Beliau dipetik berkata, laporan itu turut
menyentuh persoalan berkaitan RM314 juta yang didakwa perlu dibayar kepada kerajaan serta dikaitkan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“Laporan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang didakwa menimbulkan persoalan berdasarkan kenyataan yang dibuat Menteri Pengangkutan sebelum ini,” katanya kepada pemberita.
Gulam Muzaffar dilaporkan berkata, beliau telah menyerahkan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan pihak SPRM dan bersedia menjadi saksi utama sekiranya diperlukan.
Katanya, beliau tampil sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk memberikan kenyataan serta aduan kepada SPRM mengenai isu yang melibatkan MYEG dan Zetrix AI. – MYNEWSHUB


