JELI – Cubaan empat lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan untuk merentas ke Thailand gagal apabila anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan seorang daripada mereka dalam satu operasi di tebing Sungai Golok, di sini pada Selasa.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, tindakan berlaku sekitar jam 11.45 malam apabila pasukan operasi mengesan pergerakan mencurigakan empat individu di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.
“Ketika pasukan menghampiri, kesemua lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan cuba menyeberangi Sungai Golok ke arah Thailand.
“Namun, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki manakala tiga lagi sempat melarikan diri ke sebelah Thailand,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, lelaki yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri tetapi mengaku sebagai warganegara Malaysia.
“Pihak Polis Diraja Malaysia yang membantu dalam pemeriksaan menemui tiga bungkusan air dipercayai air ketum, sebilah parang, telefon bimbit, sejumlah wang tunai dalam mata wang Thailand, sarung tangan getah, beg silang dan tali dalam beg galas suspek.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1,203,” katanya.
Markas itu berkata, suspek kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk tindakan lanjut.
“Suspek disiasat kerana tidak membawa pengenalan diri serta memiliki senjata berbahaya.
“Dia juga akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana dipercayai memiliki air ketum,” katanya.
Dalam pada itu, markas tersebut menegaskan bahawa TDM akan terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dibanteras.
“Kami komited melaksanakan amanah dalam mempertahankan kedaulatan negara meskipun berdepan pelbagai cabaran serta ancaman keselamatan,” katanya.
-Sinar Harian