KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperaku kesungguhan pemerintah Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan lahan di negara itu yang turut mengakibatkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan Malaysia.
Beliau berkata, pemerintah Indonesia telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung kebakaran yang semakin membimbangkan itu.
“Saya memperaku kesungguhan pemerintah Indonesia yang telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung permasalahan yang semakin membimbangkan ini.
“Kita sedar bahawa usaha menangani bencana
sedemikian bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi dengan keluasan kawasan terjejas dan tantangan cuaca yang tidak menentu,” katanya menerusi hantaran di media sosial semalam.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan kebakaran hutan dan lahan di Indonesia yang menyebabkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kesihatan serta kehidupan rakyat Malaysia.
Menurutnya, keadaan itu turut memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan cabaran rentas sempadan perlu ditangani menerusi tekad dan tanggungjawab bersama dalam semangat hubungan akrab antara negara jiran.
Katanya, Malaysia telah mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif menangani masalah jerebu rentas sempadan.
“Malaysia kekal bersedia menghulurkan
bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini.
“Semangat kejiranan yang sebenar menuntut kita untuk saling mendukung tatkala berdepan musibah, dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat serantau sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


