TEL AVIV – Hamas dan Israel terlibat pertikaian lagi apabila Tel Aviv sengaja menyekat aliran bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza pada Ahad ketika penduduk Palestin sedang menjalani ibadah puasa.
Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memaklumkan ia telah menerima pakai cadangan Steve Witkoff yang merupakan wakil Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk pelaksanaan tempoh bertenang sementara sempena Ramadan dan Hari Paskah.
Gencatan senjata itu akan menghentikan pertempuran sehingga 20 April depan ketika cuti perayaan Paskah yang disambut komuniti Yahudi.
Ia turut meletakkan syarat kepada Hamas supaya membebaskan separuh daripada tawanan dan menyerahkan mayat tebusan manakala bakinya dilepaskan jika perjanjian gencatan senjata secara kekal dicapai.
Hamas bagaimanapun tetap komited dengan perjanjian gencatan senjata awal yang dijadualkan memasuki fasa kedua dan menolak sekeras-kerasnya idea pelanjutan sementara.
Pegawai kanan gerakan itu, Mahmoud Mardawi berkata, mereka hanya akan membebaskan baki tawanan seperti dipersetujui di bawah perjanjian asal.
Gencatan senjata rapuh itu turut menyaksikan Zionis melakukan pelanggaran berulang sejak 19 Januari lalu.
Sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin terkorban dalam serangan berasingan di utara dan selatan Gaza.
Keputusan Netanyahu disokong pakatan haluan kanan malah mereka tanpa perikemanusiaan menggesa pemimpin ‘ekstremis’ itu supaya membuka ‘pintu neraka’ di Gaza dan mengebom gudang bekalan makanan di wilayah tersebut.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir turut mencadangkan idea gila supaya memotong bekalan elektrik dan air di Gaza sehingga Hamas membebaskan kesemua 58 tawanan termasuk 34 yang terbunuh.
-Agensi