Lapan syarikat akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung penalti kewangan RM92.8 juta atas dakwaan terbabit dalam kartel tipuan bida tender terbuka. Kesemua syarikat itu menyifatkan keputusan dan penalti yang dikenakan MyCC sebagai tiada merit.
Syarikat-syarikat berkenaan turut memohon penangguhan keputusan sementara menunggu proses rayuan. Perkara ini dimaklumkan menerusi kenyataan oleh Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, NYL Corporation Sdn Bhd dan Kiara Kilat Sdn Bhd.
Syarikat-syarikat itu akan memfailkan notis rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) dalam masa terdekat sebagai respons kepada penalti kewangan MyCC berjumlah lebih RM92 juta.
Sebelum ini, MyCC telah membuat pengumuman melalui kenyataan media berkaitan cadangan keputusan tersebut pada April 2024.
Ekoran itu kesemua syarikat berkenaan telah menghantar permohonan semakan kehakiman pada Mei 2024 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan keputusan semakan kehakiman dijadualkan pada 30 April 2025. Bagaimanapun MyCC telah mengeluarkan kenyataan media berhubung penalti kewangan (keputusan akhir denda) pada 28 Februari 2025 iaitu sebelum keputusan semakan kehakiman.
Notis rayuan yang dikemukakan kepada CAT adalah berasaskan hujah-hujah yang kuat. Antaranya perolehan projek pada 2019 adalah secara tender terbuka melibatkan 200 buah syarikat iaitu persaingan yang luas.
MyCC juga telah terlibat dan maklum tatacara perolehan di Kementerian Kewangan (MOF) sebelum Surat Setuju Terima dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya.
Selain itu, syarikat-syarikat berkenaan tidak mempunyai kawalan “cut-off’ harga tender terbuka kerana hanya 2% daripada jumlah petender yang terlibat dan ianya tidak memberi sebarang impak kepada penilaian tender terbuka Jabatan Kerja Raya (JKR).
Harga tawaran yang dikemukakan adalah di bawah anggaran JKR, sekali gus tidak menyebabkan sebarang kerugian kewangan kepada Kerajaan.
Kelapan-lapan syarikat itu menegaskan akan mencabar penemuan MyCC berhubung isu tersebut bagi mempertahankan reputasi masing-masing selain mendokong integriti.
Bagi tujuan itu, kesemua syarikat sedang berunding dengan penasihat undang-undang untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi merayu dan memfailkan permohonan penangguhan keputusan itu buat sementara waktu.
Mynewshub-