MAKKAH : Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mengutip dana berjumlah lebih RM1 juta, hasil sumbangan jemaah haji dan pendepositnya melalui Program Santunan Kasih Baitullah untuk tujuan memenuhi keperluan kebajikan jemaah haji di Tanah Suci.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Rombongan Haji Musim 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata lebih RM1 juta berjaya dikumpulkan sejak Januari hingga Mei 2024.
“Program ini bertujuan memberi ruang kepada jemaah haji untuk membelanjakan harta mereka di jalan Allah SWT melalui infaq ikhlas.
“Sumbangan ini juga adalah untuk memastikan kesempurnaan pelaksanaan Rukun Islam yang kelima,” katanya.
Pada tahun ini, sebahagian dana berkenaan digunakan untuk membeli 12 unit alat pembesar suara yang akan ditempatkan di setiap maktab dan khemah semasa operasi masyair.
Ia bagi memudahkan penyaluran serta penyampaian maklumat yang jelas dan berkesan kepada jemaah haji.
“Program Santunan Kasih Baitullah TH ini memberikan peluang kepada pendeposit dan jemaah haji untuk mendapat pahala berlipat ganda kerana ia akan digunakan bagi membantu keperluan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya lagi.
Sumbangan ikhlas boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian menerusi THiJARI melalui debit akaun simpanan TH kepada Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia.
-Berita Harian