KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, prosiding perbicaraan kes penyelewengan dana milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM2.3 bilion akan dijalankan pada Sabtu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi yang bermula pada Ogos 2019 di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) dan sudah mendengar keterangan 50 saksi, kini berlanjutan lebih 200 hari.
Selepas saksi ke-50 pendakwaan, iaitu bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo selesai diperiksa balas oleh pendakwaan, Sequerah menetapkan beberapa tarikh berikutnya termasuk pada hari Sabtu untuk menyambung perbicaraan.
Tarikh berkenaan adalah pada 27 April, 4 dan 25 Mei serta 1, 8 dan 15 Jun sebagai tarikh tambahan untuk mendengar kes terbabit, yang kesemuanya jatuh pada Sabtu.
Bagaimanapun, Loo yang mula memberikan keterangan bermula 13 Februari lalu, yang juga saksi terakhir, tertakluk untuk dipanggil semula.
Pendakwaan bagaimanapun belum boleh menutup kesnya kerana beberapa saksi pendakwaan lain dalam senarai untuk dipanggil semula iaitu bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin, bekas Pengarah1MDB Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Pengerusi Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
BHonline-