SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau tidak tahu bagaimana rakyat dan sejarah akan menilai dirinya.
Beliau namun berharap akan diingati sebagai pemimpin yang telah berusaha sedaya upaya untuk berlaku adil, bekerja dengan ikhlas dan meletakkan kepentingan Negeri Sembilan mengatasi segala-galanya.
“Jika ada kebaikan yang dirasai, itu datang dengan izin Allah SWT dan hasil usaha bersama seluruh warga pentadbiran serta rakyat Negeri Sembilan. Jika ada kekurangan, saya memohon ampun dan maaf,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Aminuddin berkata, beliau menerima pilihan yang dibuat rakyat Negeri Sembilan dengan hati yang reda dan penuh keinsafan kerana dalam setiap ketentuan Allah SWT pasti ada hikmah yang lebih besar.
Katanya, beliau berasa amat bertuah kerana diberi peluang memimpin Negeri Sembilan dan menjadi Menteri Besar bukan sekadar satu jawatan, tetapi satu amanah yang cuba dipikul dengan seikhlas hati dan sebaik kemampuan.
“Perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak berakhir dengan satu pilihan raya. Selagi Allah SWT mengizinkan, insya-Allah saya akan terus menyumbang dengan apa sahaja kemampuan yang ada.
“Doa saya hanya satu. Semoga Negeri Sembilan sentiasa dipelihara Allah SWT, dipenuhi keberkatan, keamanan dan kemajuan. Terima kasih Negeri Sembilan,” katanya. – MYNEWSHUB


