KUALA LUMPUR – Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman berkata insiden Ahli Parlimen bertindak meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan bukan perkara baru.
Menurut beliau, peristiwa ‘keluar dewan’ oleh semua parti politik pernah berlaku beberapa kali antaranya pada tahun 1965, 1999, 2008 dan seterusnya.
Bagaimanapun, kata beliau, trend ‘keluar dewan’ semakin rancak selepas tahun 2008 apabila Ahli Parlimen pembangkang semakin ramai di Dewan Rakyat.
“Ada beberapa kali sebenarnya peristiwa ‘keluar dewan’ pada tahun 2008, namun paling hangat adalah yang dua ini.
“Yang pertama pada 28 Ogos 2008. Ia merupakan hari pertama DS Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kembali ke Parlimen sejak di pecat pada tahun 1999.
“Hari dia angkat sumpah dan ambil alih peranan Ketua Pembangkang, dia sudah memimpin Ahli Parlimen pembangkang ‘keluar dewan’,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Rahimi berkata, insiden itu berlaku ketika perbahasan Akta DNA yang menyaksikan pembangkang tidak puas hati dengan akta tersebut dan minta dikaji serta diubahsuai.
Kata beliau, dalam masa yang sama juga terdapat isu mengenai DNA dalam siasatan polis terhadap Anwar apabila dia enggan memberikan sampel DNA semasa siasatan.
“Jadi ‘panas’ sikit la bila akta ini digubal. Bila kerajaan tak layan, semua MP (Ahli Parlimen) pembangkang ketika itu bertindak keluar dewan beramai-ramai,” katanya.
Menurut beliau, insiden kedua berlaku selang beberapa bulan ketika Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang baru dilantik Menteri Kewangan sedang menggulung perbahasan Bajet 2009 pada 4 November 2008.
“Harus diingat, bajet tahun 2009 ini sangat-sangat besar kerana satu dunia baru sedang mengalami krisis ekonomi selepas krisis hartanah dan pasaran saham di US (Amerika Syarikat). Malaysia juga tidak terkecuali, jadi bajet 2009 ini bukan benda main-main nak dijadikan politik.
“Pembangkang minta mencelah, tetapi DS Najib tidak benarkan. Kata dia, biar lah dia habiskan dahulu perbahasan dia dan dia akan bagi ruang untuk pembangkang tanya soalan selepas dia habis.
“Tuan yang dipertua, saya ada beberapa langkah yang amat penting saya nak bentangkan. Jadi biarlah saya bentang dulu, kemudian saya bagi peluang…” kata DS Najib dengan penuh tenang. Bukan dia tak bagi, dia kata nanti biar dia bentang dulu,” katanya.
Bagaimanapun, Rahimi berkata, Anwar dan Ahli Parlimen Pembangkang lain terus bangkit, memprotes dan menjerit-jerit sebelum meninggalkan Dewan Rakyat.
“Kalau tengok video lama itu balik memang kelakar. DS Najib cuma senyum dan gelak sahaja melihat tingkah laku Anwar dan MP (Ahli Parlimen) dia ketika itu yang seperti kebudak-budakan.
“Rindu pula pada ketenangan DS Najib bila dia jadi pemimpin. Relax, tenang, berhemah dan tidak emosi. Tak ada jerit-jerit. Apa jadi pun dia senyum saja.. Moga Allah sentiasa melindungi DS Najib,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Rahimi Osman



