AYER KEROH: Kerajaan akan mengumumkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan sistem saraan awal itu selepas 12 tahun tertangguh.
“Memang ada keluhan (daripada penjawat awam), saya sudah menyatakannya kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz mengenai kajian sistem persaraan yang tertangguh selama tempoh 12 tahun.
“Kadar upah penjawat awam tidak dikaji dan tidak meningkat, tahun lalu saya beri jaminan dan tahun ini sudah sampai tahap dan saya percepatkan proses itu.
“Mungkin dalam tempoh dua bulan kita percepatkan dan dalam tempoh tiga bulan kita bentangkan kepada jemaah menteri dan boleh diumumkan pada suku ketiga atau selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.
“Jadi saya tahu (penjawat awam) sudah lama bersabar walaupun kita ada kekangan kewangan, saya tidak fikir munasabah untuk minta penjawat awam kerja lebih, kerja bersungguh-sungguh, selama satu dekad tetapi belum ada kajian persaraan.
“Oleh itu jaminan sudah saya beri dan umumkan, Insya-Allah saya akan segerakan,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Sementara itu, pada majlis amanat berkenaan, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan kepada Melaka berjumlah RM35 juta.
Peruntukan itu merangkumi usaha memelihara dan memulihara kawasan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), selain pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya bersetuju untuk meluluskan RM25 juta untuk tapak warisan UNESCO yang sememangnya ada kaitan dengan keperluan Melaka sebagai warisan sejarah penting, selain tarikan pelancongan terunggul yang mempunyai hubungan istimewa dengan China.
“Selain itu, Melaka juga menunjukkan keupayaan melaksanakan TVET dan saya mencadangkan supaya hubungan TVET dengan pihak industri dipertingkatkan bagi memastikan anak-anak yang belajar dalam bidang ini bukan saja mendapat pekerjaan, bahkan memperoleh kadar upah yang lebih tinggi iaitu mencapai RM3,500 hingga RM5,000 sebulan.
“Justeru, untuk maksud ini saya meluluskan peruntukan khas RM10 juta untuk TVET di Melaka bagi mempergiat sinergi antara institusi TVET dengan pihak industri,” katanya.
BHonline-