Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi membincangkan pelbagai isu semasa termasuk konflik melibatkan Iran dan Israel.
Menurut Anwar menerusi perkongsian di media sosial, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk mengatur satu pertemuan dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
“Sewaktu panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, semalam, kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa, termasuk konflik Iran-Israel.
“Kami bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan saya untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini
Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan turut menyentuh kepentingan pendekatan diplomasi berterusan dalam menangani konflik Iran–Israel yang semakin meruncing.
Kata beliau, kedua-dua pemimpin juga sepakat menggesa kepada keamanan serta menekankan keperluan usaha diplomatik diperkukuh bagi meredakan ketegangan.
Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia akan terus menyokong usaha diplomasi bagi memastikan keselamatan orang awam terpelihara, di samping membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


