Sunday, March 3, 2024

Creating liberating content

Konfius Bila Syampu RM2...

PACKAGING syampu ini memang nampak sebijik dengan jenama syampu terkenal.Hingga kita yang melihat...

Agong Rasmi Istiadat Pembukaan...

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Isnin...

RUU355: Mohon Batal Saman...

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan...

2 Lans Koperal Didakwa...

SHAH ALAM - Dua anggota polis hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di...

Isu Kalimah Allah Bakal Jadi Polemik Jika Gagal Diselesaikan Segera

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berasa gusar dengan isu penggunaan kalimah Allah kerana jika perkara itu gagal diselesaikan segera, maka, ia bakal menjadi polemik berlarutan sehingga boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara.

Ikuti Mynewshub: Telegram

Seri Paduka Baginda bertitah, polemik penggunaan kalimah Allah bukan merupakan pendekatan terminologi dan linguistik, sebaliknya berhubung isu akidah umat Islam dan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

Al-Sultan Abdullah justeru bertitah, kerajaan hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara, kemaslahatan ummah dan kedudukan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu lain sebagai Ketua Agama Islam.

“Justeru, beta berasa gusar dengan isu penggunaan kalimah Allah yang jika gagal diselesaikan segera, bakal menjadi polemik berlarutan sehingga boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara,” titah Seri Paduka sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraaan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Pada sama sama, Seri Paduka bertitah, ketinggian dan kesucian agama Islam sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia merdeka sehingga Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama Persekutuan iaitu termaktub dalam Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti mana tercatat lipatan sejarah.

“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperoleh kemerdekaan.

“Ia adalah merupakan kesepakatan yang tercatit dalam lipatan sejarah bagi menentukan norma hidup bermasyarakat pasca kemerdekaan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah sekali lagi menegaskan, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera demi perpaduan dan masa depan masyarakat dengan perkara ini menuntut jalan penyelesaian yang bijak, penuh kesantunan, semangat bertolak ansur serta akomodasi tinggi.

“Prinsip pertama Rukun Negara adalah kepercayaan kepada tuhan. Jelasnya, konsep beragama adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan agama tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan,” titah Seri Paduka.


Selain itu, Al-Sultan Abdullah menyifatkan sebarang polemik berhubung kait agama jika gagal ditangani dengan segera, umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum dan semua pihak wajar mengambil pendekatan bijak dan tertib serta disulami dengan semangat toleransi tinggi dalam berhadapan isu sensitif tersebut.

Hal ini kerana Seri Paduka menegaskan, kepelbagaian dan kerencaman landskap masyarakat yang selama ini menjadi keunikan dan tarikan kepada negara lain berpotensi mencetuskan prasangka, konflik, perbalahan dan pertelingkahan sekiranya tidak harmoni di bawah konsep perpaduan dan akhirnya menggugat kestabilan yang telah sekian lama terbina.

Oleh demikian, Yang di-Pertuan Agong bertitah lagi, pembentukan perpaduan dalam landskap demografi yang kompleks dengan kepelbagaian hendaklah dilaksanakan dalam konteks menyeluruh dan bukannya bersifat retorik serta kosmetik semata-mata.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, kita hendaklah berusaha untuk mengurangkan perbezaan sesama kita sebagai rakyat Malaysia. Selanjutnya, kita hendaklah menanamkan semangat akomodasi serta toleransi dalam kehidupan seharian.

“Semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah dan selanjutnya dibaja dan disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi,” titah Al-Sultan Abdullah.

Titah Seri Paduka, perpaduan memerlukan resepi yang efektif dengan hati yang terbuka, jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja dan negara.

“Lebih penting lagi, kita hendaklah tidak mempersoalkan apatah lagi mencampuri dan memandang rendah urusan serta kepercayaan agama yang diamalkan oleh bangsa lain,” titah Al-Sultan Abdullah.

UtusanOnline-

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori