Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sebarang cukai termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menampung kenaikan hutang negara.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sebaliknya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, usaha akan dilakukan untuk mengetatkan pengurangan subsidi bagi golongan kaya supaya yang miskin tidak terus dibebani.
“Apa yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti yang dilakukan dalam isu subsidi elektrik.
“Seperti yang saya jelaskan di Dewan ini dalam sesi lalu, walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah membatalkan rancangan itu.
“Kita mengenakannya hanya kepada T20 (berpendapatan tinggi), syarikat multinasional dan syarikat besar, melainkan syarikat yang terbabit dalam keselamatan makanan,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar (PH-Tambun) menambah, terdapat beberapa langkah lain yang boleh dibuat dalam mengurangkan ketirisan seperti dalam isu subsidi diesel sebanyak RM20 bilion pada 2022 kepada kumpulan T20.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (PH Taiping) yang menyoal adakah kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu kepada rakyat bagi menampung hutang negara yang semakin meningkat.
Dia yang juga menteri kewangan berkata langkah lain akan diambil dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan liabiliti dan hutang kerajaan yang kini mencecah RM1.5 trilion, mewakili 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga mengambil langkah dengan memperbaiki jawatan kelola kerana antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang adalah disebabkan pengurusan yang lemah dan ketirisan.
“Disebabkan hutang negara lebih tinggi daripada pertumbuhan negara, langkah lain yang diambil adalah memastikan asas hasil ditambah dan mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keperluan asas.
“Hal-hal ini kita akan cerakin dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 haribulan nanti,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Mohd Radzi Jidin(PN- Putrajaya) bertanya sama ada tindakan Anwar memegang jawatan perdana menteri dan pada masa sama menteri kewangan akan membuka ruang kepada berlakunya pelbagai skandal kewangan seperti yang berlaku sebelum ini.
Radzi merujuk kepada skandal 1MDB, SRC International dan Tabung Haji yang berlaku semasa pentadbiran BN.
Anwar mengakui ada kebenaran dalam kenyataan Radzi itu, tetapi bagaimanapun mengingatkan PN agar tidak cepat menuding jari.
“Terdapat juga banyak ketirisan juga semasa zaman PN,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat beberapa projek lain yang masih disiasat.
Dia berkata berdasarkan sejarah, tiada isu menjadi perdana menteri dan menteri kewangan pada masa yang sama.
Masalahnya adalah menggunakan kedudukan untuk rompak harta rakyat dan ini terpakai dalam banyak kalangan, sama ada belah sini (kerajaan), belah sana (pembangkang), jangan bimbang.
“Bagaimanapun yang terpalit rasuah, itu harus tertekan dan bimbang.
“Apa pun telahan yang dibuat, saya tekad untuk pentadbiran kerajaan perpaduan ini, saya akan gunakan segala usaha mengelak dan menghalang dari segi rasuah yang berleluasa,” katanya
Anwar berkata isu sebenar ialah menggunakan kedudukan kuasa untuk mencuri wang rakyat.
“Saya berazam untuk menggunakan segala usaha untuk mengelak dan mencegah pengkhianatan dalam bentuk rasuah,” katanya.
-Malaysia Kini


