KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, masih Ketua Menteri walaupun Barisan Nasional (BN) Sabah meliputi parti komponen, UMNO mengumumkan menarik balik sokongan kepada beliau.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan empat kepimpinan tertinggi parti komponen GRS, hari ini, mereka sepakat bahawa pengumuman itu tidak memberikan kesan terhadap kedudukan semasa Hajiji kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan menerusi sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan berpandukan Perlembagaan Negeri.
“Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah, dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Sabah Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Pada sidang media semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri, mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain mendakwa perjanjian antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.
Bung Moktar berkata, BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk Kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Hajiji serta pemimpin BERSATU Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang didakwa tiada keabsahan.
Beliau bagaimanapun mengaku, lima daripada 18 ADUN BN tidak menyokong keputusan itu tanpa menyatakan nama ADUN terbabit.
Seterusnya, keempat-empat presiden parti komponen dalam GRS itu mengesahkan bahawa ADUN Sabah daripada GRS tetap berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Menurut kenyataan bersama itu, GRS adalah sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling ramai dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, serta menyatakan penghargaan terhadap sokongan ADUN lain kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri, meliputi sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN Dilantik.
“Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat serta negeri harus diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu,” menurut kenyataan itu sambil menekankan menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat pada PRN Sabah Ke-16.
Dalam kenyataan bersama itu juga, empat pemimpin parti komponen GRS terbabit mendakwa, tindakan BN menarik balik sokongan terhadap Hajiji adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari lalu.
“Sebarang gerakan membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan mengkhianati mandat rakyat serta harus ditolak,” kata mereka.
-Berita Harian