Kuala Lumpur : Banjir besar berkemungkinan boleh berlaku di negara ini setiap tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, daripada segi saintifik, faktor utama penyebabnya ialah hujan lebat berterusan akibat luruan monsun dan kemunculan sistem tekanan rendah di rantau negara.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Katanya, La Nina pula menyebabkan rantau di barat Pasifik termasuk Malaysia menjadi lebih lembap dan seterusnya taburan hujan boleh menjadi lebih tinggi berbanding kebiasaan.
Beliau berkata, berdasarkan status terkini Ayunan Selatan atau ENSO yang dikemaskini pada 7 Jun 2022, keadaan La Nina lemah sedang berlaku dan dijangka berterusan dengan kebarangkalian 58 peratus sehingga Oktober 2022.
“Keadaan cuaca dijangka lebih lembap terutama di pantai timur Semenanjung, utara dan pedalaman Sarawak serta barat Sabah sepanjang tempoh ramalan.
“Lazimnya hujan berterusan berlaku semasa Monsun Timur Laut di antara November hingga Mac dan selalunya lebih cenderung di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Namun begitu, ia boleh juga berlaku di negeri lain seperti yang terjadi pada Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah, kelmarin, yang berkata, bencana banjir pada akhir tahun lalu berisiko berulang kembali apabila jumlah curahan hujan diramal sama atau hampir sama dengan keadaan itu pada hujung tahun ini.
Sementara itu, Muhammad Helmi berkata, MetMalaysia tidak menjangkakan berlaku kemarau, cuaca panas yang ekstrem atau tempoh hari tanpa hujan yang berpanjangan pada tahun ini.
“Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, media sosial rasmi jabatan dan aplikasi mobil myCuaca.
“Melalui aplikasi myCuaca, ia dapat membantu rakyat Malaysia memperoleh maklumat berkaitan cuaca, gempa bumi dan amaran cuaca buruk di darat, laut dan juga amaran kemungkinan ancaman kejadian tsunami di kawasan negara.
“Selain itu, satu lagi aplikasi mudah alih yang dilancarkan pada 23 Mac lalu adalah RakanMET,” katanya.
Menurutnya, RakanMET adalah medium interaksi dua hala antara MetMalaysia dengan orang awam sekali gus membantu mereka mendapatkan maklumat tepat daripada pihak kerajaan di samping dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
-Harian Metro

