Shah Alam : Berang selepas pemandu warga emas membelok kenderaannya secara tiba-tiba dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak agresif memukul mangsa di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa, semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, punca kejadian itu dikenal pasti selepas siasatan dilakukan pihaknya terhadap suspek yang ditahan semalam susulan laporan dibuat warga emas berusia 61 tahun.
“Siasatan mendapati suspek tidak puas hati kerana mangsa membelok secara tiba-tiba sehingga menyebabkan suspek memarahinya.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata suspek berusia 23 tahun itu kini direman empat hari bermula hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, mangsa memandu bersama isteri serta cucu untuk ke Putrajaya dan ketika membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue (Seksyen 16), suspek yang menaiki motosikal Yamaha Y15 berada di sebelah kiri kereta mangsa menjerit dan memarahi mangsa.
Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran bagaimanapun selepas dia keluar dari kereta, suspek terus menendang mangsa di dada kiri.
Mangsa juga mendakwa suspek duduk atas badannya dan menumbuk muka serta kepalanya bertubi-tubi sehingga menyebabkan bengkak bawah mata, kepala serta sakit bahagian rusuk.
-Harian Metro

